Kamis, 31 Maret 2011

Cerita Peminat Ikan Laga


CERITA PEMINAT


Ikan laga sumber rezeki



Mohd. Zul Azman Arifin melayani kanak-kanak yang turut menggemari ikan laga yang diternaknya di Kampung Bukit Pinang, Alor Setar. – utusan/Halim Khalid


ALOR SETAR 14 Jun – Ikan daripada spesies Betta Splenden atau lebih dikenali sebagai ikan laga adalah antara ikan yang popular di negara ini.
Turut disebut sebagai ikan karin di bahagian utara tanah air, ikan ini mempunyai peminatnya yang tersendiri, tidak kira tua atau muda.
Menyedari potensi yang ada pada ikan ini, seorang anak muda menjadikan ikan laga sebagai sumber pendapatan utamanya.
Mohd. Zul Aziman Arifin, 24, yang mempunyai sijil dalam bidang elektrik tidak lagi menoleh ke belakang untuk menjadi seorang pembiak dan penjual ikan laga.
Jelasnya, sejak berumur 11 tahun lagi, minat terhadap ikan laga telah berputik memandangkan ayahnya juga adalah seorang pencinta ikan itu.
“Ikan laga yang dibeli oleh ayah saya ketika itu adalah daripada jenis half moon dan ikan tersebut cepat mati.
“Jadi, saya mula belajar sendiri cara-cara untuk membiakkan ikan tersebut kerana tidak mahu lagi membazirkan wang membeli ikan laga di kedai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Pinang.
Menurutnya, dia turut menimba ilmu cara-cara untuk membiakkan ikan laga melalui pengusaha ikan hiasan yang mahir dalam teknik untuk membiakkan ikan laga.
“Banyak kali juga saya mencuba dan ada yang tidak menjadi namun saya tidak putus asa sehingga dapat teknik yang sesuai untuk membiakkan ikan laga jenis half moon.
“Semasa di sekolah menengah saya mula menjual ikan laga yang dibiakkan sendiri dan sehingga kini ikan laga menjadi sumber pendapatan saya,” katanya.
Zul memberitahu, selepas tamat pengajian dalam bidang elektrik pada 2005 dia tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Pada masa itu, katanya, seorang pengusaha ikan hiasan yang turut meminati ikan laga menyuruhnya menjalankan perniagaan ikan laga secara serius.
“Saya masih ingat kata-kata tauke Cina itu, dia kata lebih baik saya buat duit dengan benda yang saya minat iaitu ikan laga.
“Selepas itu, saya terus membeli 20 ekor ikan laga jenis half moon dari Kelantan dengan harga RM1,000 untuk dijadikan induk dan sehingga kini saya tidak menang tangan untuk membiakkan ikan laga yang dipesan oleh para pembeli,” katanya.
Jelasnya, ikan laga yang dibiakkan sendiri itu juga akan dijual di pasar pagi di sekitar Bukit Pinang dengan harga serendah RM0.80 hingga RM25.
“Ikan ini sentiasa ada peminatnya yang tersendiri dan saya bersyukur kerana rezeki dalam bidang ini tidak pernah putus dan saya merancang untuk membesarkan lagi tempat pembiakan ikan laga ini.
“Saya juga ingin mengadakan kursus kepada mereka yang berminat untuk melibatkan diri dalam bidang pembiakan ikan laga ini,” katanya.
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan ikan laga yang dibiakkan oleh Zul, boleh menelefonnya di talian 012-4447466.
sumber: Utusan Malaysia Online


Mudah peroleh hasil lumayan



BADRUL Hisham Saidin menunjukkan dua jenis ikan laga yang diternaknya di Manjoi, Ipoh, baru-baru ini.


IPOH 23 Jun – Bagi peminat ikan hiasan, ikan laga antara spesies yang menarik untuk dipelihara.
Walaupun bersaiz kecil, keunikan ikan ini dengan warna yang menarik selain ekornya yang kembang dan cantik mampu menarik minat sesiapa sahaja untuk memeliharanya.
Justeru, tidak hairanlah ikan laga mendapat permintaan yang tinggi di pasaran dan ramai yang memberanikan diri menceburi perniagaan menjual ikan ini.
Bagi Badrul Hisham Saidin, 36, dia menceburkan diri dalam perniagaan tersebut bagi mencari rezeki untuk keluarga selepas terpaksa berhenti kerja.
Menurut anak kelahiran Taiping ini, penyakit saraf yang dihidapi mendorongnya untuk mencari alternatif baru dan hasil dorongan seorang rakan, dia menceburkan diri dalam bidang penternakan ikan laga.
Ujarnya, berbekalkan modal hasil wang simpanan sebanyak RM8,000, dia membeli induk ikan laga dan mempelajari cara-cara membiak ikan hiasan tersebut.
“Sekarang sudah tujuh tahun saya menceburi bidang ini. Alhamdulillah, bidang inidapatmemberi saya sedikit rezeki untuk keluarga kerana saya tidak boleh melakukan kerja-kerja berat.
“Cara menjaganya tidak susah, asalkan berminat pasti sesiapa sahaja dapat memelihara ikan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Manjoi baru-baru ini.
Menurut Badrul Hisham, ikan laga mudah membiak dan dalam tempoh 24 jam ia boleh menetaskan antara 100 hingga 400 telur pada satu-satu masa.
Untuk mengawankan ikan tersebut katanya, ikan laga jantan dan betina akan diletakkan di dalam bekas yang sama selama kira-kira dua hingga tiga hari dan proses mengawan dipastikan berlaku apabila ikan laga betina menjauhkan diri dari ikan laga jantan.
Ketika ini ujarnya, ikan laga betina akan diasingkan dan ikan laga jantan akan dibiarkan menjaga telur-telur ikan tersebut di dalam buihnya sehingga menetas iaitu kira-kira beberapa hari kemudiannya.
Anak-anak ikan laga katanya, akan diberi makan moina, sejenis kutu air bagi membantu membentuk ekornya dengan lebih cantik.
“Ekor ikan laga akan mengembang seperti kipas yang sangat cantik pada usia dua setengah sehingga empat bulan iaitu tempoh yang paling cantik dan ditunggu oleh peminatnya.
“Pada usia dua bulan, ikan laga sudah boleh dijual. Sekiranya dijaga dengan betul, hayat ikan ini boleh mencapai usia tiga tahun sebelum ekornya menjadi labuh dan berat,” katanya.
Ujar Badrul Hisham, ikan laga dari spesies halfmoon mendapat permintaan paling tinggi di kalangan peminatnya selain spesies ‘plakat’ dan ‘crown tail.’
Katanya, peminat biasanya lebih meminati ikan yang berwarna biru dan hijau selain dari warna merah, putih dan keemasan.
Jelasnya, setiap hari Ahad, dia akan menjual ikan yang dibiaknya sendiri itu di Medan Gopeng dekat sini pada harga antara RM5 hingga RM20 mengikut gred.
Selain itu katanya, ikan-ikan tersebut akan dijual kepada pemborong dengan harga serendah RM1.10 seekor.
“Saya tidak kenal mana-mana pemborong dari luar walaupun saya tahu ramai peminat dari Kuala Lumpur dan Kelantan yang mencari ikan laga.
“Jadi saya terpaksa juga menjualnya pada harga yang rendah kerana ini satu-satunya sumber pendapatan saya,” katanya.
Mereka yang berminat untuk mendapatkan ikan laga, boleh menghubungi Badrul Hisham di talian 017-5285282.
sumber: Utusan Malaysia Online

MONDAY, FEBRUARY 7, 2011


Ikan Laga Janjikan Pulangan Lumayan
 
Posted on 05/08/2010 by Lan83MEMANG agak pelik apabila mengetahui ada golongan wanita yang begitu berminat dengan ikan hiasanapatah lagi ikan itu pula adalah dari spesies BettaSplenden atau lebih dikenali sebagai ikan laga. Namun bagi Mariyati Abdullah, 54, dunia ikan hiasan bukan hak mutlak lelaki semata-mata malah beliau membuktikan lebih jauh lagi apabila menukarkan minatnya itu kepada sebuah perniagaan yang menguntungkan.Membuka cerita ketika berkunjung ke kediamannya yang turut dijadikan kawasan penternakan ikan laga, Mariyati berkata, segala-galanya bermula daripada hobinya yang gemar membela ikan laga di rumah seperti kebanyakan orang. Hobinya itu juga telah mendorong beliau membeli lima pasang ikan laga dari Thailand yang kemudiannya membuka jalan kepadanya untuk menceburi dunia perniagaan dengan lebih serius. Baka-baka ikan yang dibeli ketika itu terdiri daripada varieti halfmoon, crown tail, short tail, double tail dan fighting fish selain spesies ikan laga liar. Tanpa diduga ikan laga yang dibelinya itu membiak dengan pantas dalam masa yang cukup singkat memaksanya membina kawasan penternakan yang berasingan dan lebih besar di sebelah rumahnya.Melihat kepada sambutan orang ramai serta menerusi bantuan seorang rakan yang sanggup menjadi pengedar, Mariyati kemudiannya tekad menukar hobinya itu kepada cabang perniagaan dan mengusahakan penternakannya bersungguh-sungguh sehingga pernah mencapai 10,000 ekor dalam satu-satu masa. “Menariknya mengenai penternakan ikan laga ialah, ia sentiasa mendapat sambutan di kalangan orang ramai selain tidak ramai pengusaha yang benar-benar mengusahakannya untuk tujuan pasaran,’’ ujarnya.Namun beliau mengakui, penjagaan ikan laga ini agak rumit dan cerewet terutamanya dari segi penjagaan air dan makanan yang merupakan dua aspek penting dalam memastikan peratus hidup anak-anak ikan laga tinggi. Air misalnya perlu digantikan dua hari sekali manakala makanan pula perlu diberikan sebanyak dua kali sehari. Selain dipastikan kandungan air yang tidak terlalu banyak, ia juga perlu bebas daripada klorin sama ada menggunakan teknologi penapis atau ubat anti klorin yang boleh didapati di pasaran. Sekiranya menggunakan air paip biasa pula, ia perlu dibiarkan terlebih dahulu sekurang-kurangnya selama 2 hingga 3 hari sebelum boleh digunakan.Makanan pula diberikan pada sebelah pagi dan petang sama ada cacing merah atau jentik-jentik dan beliau sendiri turut menghasilkan cacing merah sendiri menggunakan kaedah yang dipelajari dari seorang rakan. “Cacing merah ini juga boleh didapati di mana-mana kedai ikan hiasan dalam bentuk tablet dan perlu dibasahkan dahulu sebelum diberikan kepada ikan laga. “Bagaimanapun, saya tidak menggalakkan ikan laga diberi makan pallet kerana ia boleh menjejaskan kualiti air,’’ katanya. Ikan laga tambah Mariyati, mampu membesar sehingga lima inci dengan jangka hayat hidup selama kira-kira dua tahun.Ikan laga jantan lebih cantik dan lebih besar daripada betina dan kebiasaannya proses mengawan akan berlaku sebaik ikan laga mencapai umur kira-kira tiga bulan. Untuk tujuan mengawan, ikan laga jantan dan betina akan diletakkan di dalam bekas yang sama selama kira-kira dua hingga tiga hari dan proses mengawan dipastikan berlaku apabila ikan laga betina menjauhkan diri dari ikan laga jantan. Ketika ini, ikan laga betina akan diasingkan dan ikan laga jantan akan dibiarkan menjaga telur-telur ikan tersebut di dalam buihnya sehingga menetas iaitu kira-kira beberapa hari kemudiannya. Sebaik menetas anak-anak ikan itu yang berjumlah beratus-ratus ekor akan diasingkan bagi mengelakkan ia di makan oleh ikan jantan dewasa dan diletakkan di dalam bekas yang lebih besar.Menurut Mariyati, ikan laga mendapat sambutan yang menggalakkan ekoran kecantikan dan keunikan warna serta corak yang terlukis pada sayapnya dan harganya semakin tinggi sekiranya kedua-dua faktor tersebut semakin terserlah. Sayap ikan laga itu juga semakin menghampiri bentuk separuh bulan iaitu seperti kipas yang sangat cantik pada usia dua setengah bulan sehingga empat bulan iaitu tempoh yang paling cantik dan ditunggu oleh peminatnya.Berdasarkan pengalamannya, beliau pernah menjual seekor ikan laga pada harga RM250 iaitu gred terbaik manakala ikan laga pada harga pertengahan pula mencecah sehingga RM100 hingga RM200. Bagaimanapun, pasaran ikan laga yang dikeluarkan oleh Mariyati lebih menjurus kepada peringkat penggemar biasa iaitu pada harga kira-kira RM30 dan ke bawah. Ketika ini juga, jualan ikan laganya dalam seekor mencecah sehingga 3,000 hingga 4,000 ekor dan dijual secara kontrak dengan pengedar untuk di pasarkan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Malah, kawasan penternakannya juga tidak pernah sunyi dikunjungi oleh penggemar ikan laga yang datang dari setiap pelosok negeri untuk memilih sendiri ikan laga yang dihajati.Selain menjalankan projek penternakan ikan laga sendiri, Mariyati turut mengambil upah membela ikan-ikan laga daripada individu lain seperti ikan laga liar yang baru sahaja diambil semula oleh tuan punya. Upah yang diperoleh daripada membela ikan laga ini juga tidak kurang lumayannya dan pernah mencecah sehingga RM600 hanya untuk tempoh beberapa bulan.Sebagai perancangan masa depan, Mariyati bercadang untuk mendapatkan sebidang tanah dengan kerjasama Jabatan Perikanan bagi meluaskan lagi projek penternakan ikan hiasannya. “Sekiranya tiada halangan, kawasan baru itu nanti akan dibina berkonsepkan pameran dalam taman yang mana selain datang membeli ikan laga, pengunjung juga dapat melihat dengan lebih dekat kecantikan dan keunikan ikan laga ini,’’ katanya. Malah, beliau juga yakin cita-citanya itu mampu dicapai apatah lagi dengan bantuan daripada Jabatan Perikanan dari segi penyediaan infrastruktur serta galakan yang diberikan supaya projeknya mampu dijadikan contoh dan rujukan kepada penternak baru.
◄ Newer Post Older Post ►